Teks: Irni Suhana Muhamad
Bismillahirrahmanirrohim..
Assalamualaikum w.b.t. Salam perkenalan
diucapkan kepada semua. Saya Irni Suhana Muhamad, berasal dari Kelantan. Pada
tahun ini usia saya mencecah umur 27 tahun. Alhamdulillah kerana dipanjangkan
usia dan diberikan rahmat oleh Allah S.W.T. Kini saya sudah berkahwin dengan
jejaka pujaan hati saya, Wan Annwarul Imran Wan Fasddi pada 28 Oktober 2012 dan
kami telah dikurniakan 2 orang anak. Anak sulung kami merupakan sepasang kembar
seiras. Kedua-duanya adalah perempuan. Namanya adalah Wan Auni Sofia dan Wan
Amni Sofia. Alhamdulillah juga kerana kini saya sedang mengandungkan anak yang
ketiga. Semoga Allah sentiasa memberikan perlindungan kepada kita semua.
Saya merupakan seorang ibu dan isteri yang
bekerjaya. Saya bekerja sebagai optometris di Hospital Jeli. Saya merupakan
graduan Ijazah Sarjana Muda Optometri di Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus
Kuala Lumpur. Saya menamatkan pengajian pada tahun 2011 dan kemudian mula
bekerja di pusat optometri, Menara Optometri Centre Sdn. Bhd. Selepas setahun
bekerja di sektor swasta, pada bulan Julai 2012 saya mendapat tawaran untuk
bekerja di sektor kerajaan pula. Saya melaporkan diri sebagai Pegawai Optometri
Hospital Bintulu, Sarawak. Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah
manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah perumpaan hidup saya. Hampir setahun
saya bertugas di Hospital Bintulu, dengan izin Allah saya berjaya bertukar ke
Negeri Kelantan. Pertukaran itu berlaku semasa saya dalam pantang si kembar.
Mungkin rezeki anak J
Sekarang, anak kembar saya sudah berumur 1
tahun 8 bulan. Saya sangat gemar mengikuti perkembangan pembesaran mereka
supaya perkembangan mereka itu selari dengan pertambahan usia mereka. Saya juga
berazam untuk memberi susu ibu secara ekslusif kepada anak yang bakal saya
lahirkan nanti. Kegagalan menyusukan anak sulung secara ekslusif membuatkan
saya insaf. Walaupun saya dikurniakan susu badan yang banyak, namun akibat
kekurangan ilmu, saya tidak berjaya menyusukan anak sepenuhnya. Sebaliknya,
pada seawal usia 21 hari, anak-anak saya sudah mula diperkenalkan dengan susu
formula. Walhal, saya tahu susu ibu adalah susu yang terbaik.
Tujuan saya membuat blog ini adalah supaya saya
dapat berkongsi segala ilmu yang saya dapat dengan anda semua. Saya ingin kita
semua menjadi manusia yang berilmu dan kita semua dapat memperbaiki diri kita
menjadi insan yang lebih baik.
Akhir kata dari saya, terimalah serangkap
pantun:
Ada perigi ada timba,
Bercanda mandi si anak dara,
Ada ilmu kita kongsi bersama,
Sebagai tanda kasih sayang semua.
Semoga anda mendapat manfaat dari blog ini.
Salam sayang dari saya. Wasalam.
No comments:
Post a Comment