Tuesday 28 April 2015

Anak tak kenyang bila menyusu? Perlu susu formula?

Teks: Irni Suhana Muhamad
Foto: Carian Google
"Anak saya selalu menangis.. Saya sudah memberikannya susu, tetapi tidak lama selepas itu dia akan menangis lagi..Adakah susu saya tidak cukup? Adakah saya perlu memberikan susu formula kepada bayi saya?"
Perkara ini sering membelenggu fikiran saya semasa berpantang dahulu apabila anak kembar saya selalu menangis seolah-olah tidak kenyang walaupun kuat menyusu. Semasa mengandung, saya sudah berazam untuk memberi susu ibu secara ekslusif kepada bayi saya, sampaikan botol susu pun saya tak nak beli, lantas saya tidak berputus asa untuk menyusukan bayi saya.

Masih segar dalam ingatan saya, pada hari ke-21, emak mencadangkan supaya saya memberikan susu formula kepada anak kerana berpendapat anak tidak cukup susu dan kegagalan saya menyusun strategi supaya anak kembar saya tidak perlu menunggu giliran untuk menyusu. Pada mulanya, saya menolak cadangan tersebut.

Namun, akibat daripada kurang ilmu, saya akhirnya bersetuju. Selain itu, saya juga tidak mahu menyusahkan emak bila anak asyik menangis. Bermula pada hari itu, saya gagal untuk memberikan susu ibu secara eksklusif kepada bayi kembar ini. Hal ini terjadi kerana kurangnya ilmu. Jadi, saya ingin berkongsi di sini supaya anda semua tidak melakukan kesalahan yang sama seperti saya.

"Jika betul anak saya sudah mendapat susu ibu yang cukup, jadi kenapa anak saya selalu menangis dan nak susu?"

Jawapan saya adalah yang pertama, bayi hanya tahu menangis, sama ada lapar, tidak selesa, mengantuk, ingin dipeluk dan mungkin juga bayi kita bosan dan ingin diberi perhatian. 

Yang kedua, perut bayi adalah kecil dan susu ibu mudah dihadam. Jadi, dalam masa yang singkat, bayi akan berasa lapar semula.

Yang ketiga, bayi cepat lapar kerana tidak mendapat hindmilk. Ini juga adalah ilmu baru yang saya pelajari. Susu ibu terbahagi kepada 2 komponen, iaitu foremilk dan hindmilk. 

Foremilk adalah susu pada bahagian hadapan payudara yang mana sifatnya lebih cair dan untuk menghilangkan dahaga. Apabila susu foremilk telah habis diminum oleh bayi, kemudian barulah bayi akan mendapat susu hindmilk. Sifat susu hindmilk adalah lebih pekat dan mengeyangkan.



Tengok, perbezaannya sangat ketara kan? 

Tips berguna yang saya perolehi adalah, kita perlu mengosongkan sebelah payudara terlebih dahulu sebelum menukar bayi ke sebelah payudara lagi. Hal ini adalah untuk memastikan bayi mendapat kedua-dua susu foremilk dan hindmilk. Perkara ini adalah sangat penting untuk memastikan bayi mendapat zat yang optimum dan juga bagi mengelakkan perut bayi kembung.

Salah satu tanda bayi tidak mendapat susu bekalan susu foremilk dan hindmilk yang seimbang adalah najis bayi berwarna kehijauan. Tetapi, ibu bapa tidak perlu risau. Cuba praktikkan kosongkan susu sebelah payudara dulu ok..



Saya mendoakan semoga kita semua dapat memberikan susu ibu sepenuhnya (tanpa campuran susu formula) sekurang-kurangnya sehingga anak berumur 6 bulan. Dengan memberikan susu ibu, anak dan ibu sama-sama mendapat manfaat. Bagi ibu atau bakal ibu semua, jom kita tanamkan azam untuk menyusukan permata hati kita dan mencari ilmu untuk menjayakannya. 

Untuk entry seterusnya, saya akan kongsikan tips menyusukan bayi kembar. Saya juga akan kongsikan pengalaman saya. Wasalam, jumpa lagi ye :)

LOVE,
IRNI SUHANA MUHAMAD
014 515 7141
irnisuhanamuhamad@gmail.com







2 comments:

  1. maksud mengosongkan payudara sebelah tu gano irni? x pham den.hehe

    ReplyDelete
  2. maksudnya bagi baby tu menyusu sampai habis sebelah payudara tu. kalau tak kosong lagi, jangan tukar g menyusu sebelah lagi. habiskan satu-satu. hehe faham x?
    kalau yang sebelah lagi tu dah penuh, boleh pam dan simpan susu tu :)

    ReplyDelete